SEJARAH PENUBUHAN SMK WAKAF BHARU (SMKWB)

Sekolah Menengah Wakaf Bharu atau nama asalnya Sek. Men. Rendah Wakaf Bharu mula diasaskan pada 16 April  1981. Pada peringkat permulaanya pelajar yang belajar di sini didatangkan terus dari Sek. Men. Mahmud Mahyidin, Pasir Pekan. Mereka terdiri dari pelajar Tingkatan 1 dan 2 yang tinggal di sekitar Wakaf Bharu dan kampung berdekatan termasuklah dari Kampung Chenderong Batu dan Kampung Menjual di Chabang Empat. Jumlah pelajar pada peringkat awal penubuhannya ialah seramai 421 orang iaitu 209 orang pelajar Tingkatan 1 manakala Tingkatan 2 seramai 212 orang. Jumlah kelas pula ialah 11 buah, 5 kelas untuk Tingkatan 1 dan 6 kelas untuk Tingkatan 2.

Pengetua pertama ialah Tuan Haji Husin b. Salleh yang pada ketika itu sebagai Penyelia Petang SMK Mahmud Mahyiddin sebelum beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengetua SMKWB dan jumlah guru SMKWB di awal penubuhnanya seramai 21 orang. Beliau telah memilih semua setiausaha unit sekolah SM Mahmud Mahyiddin dan ini menjadi satu pemangkin besar kepada perubahan dan peningkatan SMKWB dalam percaturan akademik di daerah Pasir Mas / Tumpat hingga ke hari ini.

Sesi persekolahan pada mulanya  hanya satu sesi dan dibuka kepada  pelajar Tingkatan 1 dan 2 sahaja. Pada tahun 1982,  pelajar Tingkatan 1 di ambil terus dari sekolah SK Wakaf Bharu, SRK Wakaf Bharu, SK Delima, SK Kubang Batang, SK Chenderong Batu, SK Kebakat dan SK Morat. Pada tahun ini juga kali pertama pelajarnya mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Tingkatan 4 di sekolah ini mula diadakan pada tahun 1983 iaitu terdiri dari 1 kelas Perdagangan dan 3 buah kelas Sastera. Pada tahun ini juga SMKWB mula mengadakan dua sesi persekolahan iaitu di sesi pagi bagi pelajar Tingkatan 3 dan 4 manakala sesi petang untuk Tingkatan 1 dan 2. Pada tahun 1984, SMKWB mula mengadakan kelas Tingkatan 5 dan kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seramai 140 orang.

Pada peringkat permulaan infastruktur sekolah, terdiri daripada   dua  buah blok bangunan dua tingkat dan dua blok bangunan setingkat iaitu di Blok Bengkel Kemahiran Hidup, kantin, Blok Delima dan Blok Nilam. Sekolah ini sepatutnya dibuka pada penggal kedua persekolahan tahun 1981, namun begitu kerana desakan oleh ibu bapa pelajar maka SMKWB dibuka pada tarikh 2 Mei tahun tersebut. Ekoran pembukaan SMKWB yang dipercepatkan ini, sekolah dan warganya menanggung risiko yang amat berat. Selama tiga bulan sekolah berfungsi tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik. Namun begitu  guru, pelajar dan ibu bapa  berusaha gigih agar  persekolahan dapat berjalan dengan lancar dengan bekalan air daripada  sebuah perigi.

Padang sekolah amat luas dan boleh menampung dua padang bola sepak tetapi tidak boleh digunakan dan berfungsi sama sekali. Semua ini kerana kawasan padang diliputi oleh semak buluh yang amat tebal dan belukar. Tugas pelajar yang seramai 300 orang dan guru pada waktu pagi terutama ketika mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) ialah membawa playar, sabit dan lain-lain peralatan  untuk mencabut duri semalu dan mengutip anak-anak batu agar padang dapat digunakan. Ini jelas menunjukkan kecekalan dan kesungguhan para guru dan pelajar awal SMKWB memerah keringat bagi mewujudkan suasana yang kondusif.

Kawasan persekitaran sekolah pula dikelilingi oleh ladang getah dan semak belukar yang tebal. Situasi ini menyebabkan SMKWB ketika itu begitu tertutup dan kawasan sekolah adalah satu kawasan  hitam dan dikelilingi oleh kegiatan yang tidak sihat terutamanya kepada pelajar sekolah. Bukan sahaja persekitaran sekolah menakutkan malah kawasan pekan Wakaf Bharu ketika itu tidak ubah seperti pekan kecil sahaja. Pekan ini  hanya menjadi tumpuan penumpang keretapi yang menghubungkan antara Wakaf Bharu dengan kawasan lain di Kelantan serta antara Pantai Barat Semenanjung dan Selatan Semenanjung.

Selama tiga bulan guru dan pelajarnya berkongsi peralatan sedia ada seperti meja dan kerusi pelajar sebelum peralatan perabot yang sempurna dibekalkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).  Pada tahun 1982, pihak pentadbir sekolah berusaha membina  musalla dan meminta kebenaran daripada Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk menjual kupon derma kepada orang ramai yang menggunakan jambatan Sutan Yahya Petra. Para pelajar dan guru SMKWB berusaha mengutip derma di kepala jambatan (di pondok kutipan tol). Kutipan dilakukan secara bergilir-gilir antara pelajar dan guru SMKWB dan mereka juga mendapat kerjasama oleh pihak tentera yang mengawal perjalanan di jambatan ketika itu. Selama dua minggu mereka  berusaha mengumpulkan dana dan akhirnya  hasil gigih usaha tersebut berjaya membina  sebuah musalla (musalla pelajar perempuan sekarang).

Memandangkan pertambahan pesat bilangan pelajar maka pada tahun 1983 dan 1984 sekolah ini mendapat peruntukan tiga bangunan kayu tambahan (pasang siap) di bawah Rancangan Projek Segera. Bangunan ini dikenali dengan nama bangunan kilat dengan mempunyai sembilan belas buah bilik darjah. Bangunan itu kini telah diberi nama baru  iaitu blok  Al Kindi II dan Blok Ibnu Rusyd.

Ketika ini sekolah telah berjaya mengungguli kejohanan di peringkat negeri dalam sukan softball, silat dan juga akademik. Semua ini ekoran tenaga gurunya yang cekap dalam mengendalikan tugas masing-masing. Disiplin pelajar adalah terkawal malah disokong kuat oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG). Di atas tanggungjawab yang sama-ama dipikul maka sekolah berjaya menghasilkan pelajar yang cemerlang dalam bidang professional dan ahli korporat. Antara insan yang mempunyai nama  dalam bidang korporat sekarang ialah En. Hasnan  Abdul Kadir (dalam syarikat Maxis).

Pada tahun 1986, sebuah lagi bangunan dua tingkat dibina bagi menampung keperluan pertambahan bilik darjah akibat jumlah pelajar yang bertambah iaitu Blok Al Kindi I. Tahun 1989 satu bangunan untuk menempatkan makmal komputer dibina di atas tapak empat gelanggang bola tampar dan sebuah gelanggang bola tenis. Tahun ini juga sebuah musalla telah dibina bagi menempatkan pelajar lelaki.    Bermula pada tahun 1998, SMKWB terpaksa mengadakan dua sesi persekolahan di mana pelajar tingkatan satu dan dua belajar pada sesi petang dan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima pada sesi pagi.  Pada tahun ini juga SMKWB telah dinaikkan taraf kepada sekolah gred A. Tahun 2000 pula, sebuah bangunan dua tingkat  telah dibina bagi menempatkan makmal sains dan bilik darjah.

Pembukaan secara rasmi telah dilancarkan pada 1 Oktober 2002 bersamaan 24 Rejab 1423 Hijrah oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu iaitu YB Dato’ Abdul Aziz bin Shamsuddin.  Ketika ini SMKWB mempunyai sepuluh buah blok. (Rujuk Lampiran 1: Plan bangunan asal SMKWB tahun 2000).

Sejajar dengan perkembangan ini, perancangan demi perancangan dirancang untuk meningkatkan imej SMKWB di persada dunia pendidikan.  Perbincangan dan permuafakatan antara pihak pentadbiran, guru dan ibu bapa menjadi keutamaan sekolah  dalam menyusun strategi penambahbaikan akademik, kokurikulum, prasarana dan persekitaran sekolah. Program akademik menjadi teras penekanan sekolah dan hasilnya cukup memberangsangkan dimana keputusan Peperiksaan SPM dan PMR meningkat dari segi peratus lulus mahupun kualiti tahun demi tahun.

SMKWB telah menerima sekali lagi tambahan bangunan dan kemudahan asas. Bangunan tersebut di bina di atas padang bola sepak. Bangunan empat tingkat ini telah dapat disiapkan pada tahun 2005, bangunan ini telah dijadikan Pejabat Sekolah, Bilik Mesyuarat, Bilik Guru dan selebihnya bilik darjah bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat. Manakala di tingkat bawah pula dijadikan dewan terbuka dan bengkel ERT KHB. Bangunan itu kini dikenali dengan nama Blok Ibnu Khaldun dan Ibnu Sina.

Tahun 2007, bilangan pelajar sekolah telah melebihi 2000 orang dengan 136 orang guru. Mulai 2006 SMKWB telah  melahirkan pelajar sulung  STPM. Dari segi infrastruktur SMKWB  mempunyai 58  buah bilik darjah yang akan digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan 10 kelas Tingkatan 4 berada  di sebelah petang dan disokong dengan sebuah bangunan makmal sains dan sebuah makmal komputer.  Tahun 2008 sebuah bangunan tambahan diwujudkan bagi menempatkan Pendidikan Khas.

SMKWB juga telah dianugerahkan pelbagai gelaran seperti Johan Pertandingan 3K dan pada tahun 2002 SMKWB telah di anugerahkan Naib Johan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan Kategori Sekolah Menengah  Luar Bandar manakala  tahun 2005 SMKWB telah mengungguli dalam Pengurusan SPBT dengan mendapat Naib Johan Pertandingan Pengurusan SPBT Peringkat Kebangsaan.